31 December 2010

Temuduga Penolong Pegawai Tadbir N27



Assalamualaikum wbth dan salam 1Malaysia. Dah lama sangat rasanya jari jemari ni tak menaip di Aku & Hidupku. Kalau diikutkan hati, banyak benda yang nak dikongsikan, namun apakan daya, dengan kerja yang bertimbun saban hari, sungguh memenatkan dan sekaligus mengehadkan diri untuk meluangkan masa berblog setiap hari.

Seperti kawan- kawan rapat di Facebook dah sedia maklum, aku baru- baru ini di panggil untuk menghadiri temuduga perjawatan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi jawatan Penolong Pegawai Tadbir (PPT) N27. Disebalik temuduga tersebut, ada banyak pengalaman yang rasanya nak dikongsikan buat rakan- rakan.

Pertama sekali, bagaimanakah sehingga aku boleh dipanggil temuduga bagi jawatan tersebut. Ramai yang beranggapan panggilan temuduga bagi jawatan aku kali ni dibuat sama seperti panggilan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Sebenarnya, bagi penggilan dari UTeM ni, aku sudah melepasi beberapa tapisan. Tapi nak kasi mudah, kita guna numbering ok.

1. Semak iklan kekosongan jawatan kosong di laman- laman web kerja kosong popular seperti JobsMalaysia.info dan bukannya JobsMalaysia di bawah Kementerian Sumber Manusia.

2. Kemudian, bukalah laman tempat yang menawarkan kerja kosong ni, contohnya website Vacancy @ UTeM.

3. Kemudian, daftar masuk dan lengkapkan profil peribadi anda. Jangan lupa, untuk sesetengah agensi atau majikan, mereka mengkehendaki anda untuk memuat naik gambar berukuran passport dan salinan sijil- sijil bagi tujuan saringan. Macam UTeM juga, kalau tak upload maknanya tak lengkap la permohonan. Dan tentu- tentu tak dipertimbangkan.

4. Lepas dah lengkap hantar dan tunggulah jawapan untuk panggilan ujian psikologi dan Ujian Kompetensi Bahasa. Ni lah step yang paling hebat dalam panggilan temuduga kerja. Di mana, calon- calon atau pemohon yang melepasi saringan kelayakan akademik, akan dipanggil bagi menduduki ujian Psikologi dan Ujian-ujian lain yang sudah tentu tiada semua ini jika dipanggil temuduga melalui SPA. Dalam peringkat ini, saya dipanggil untuk menduduki ujian tersebut di Kampus Induk UTeM di Durian Tunggal Melaka. So, dalam peringkat ini ada beberapa ujian yang perlu diduduki iaitu Ujian Psikologi Inventori Sidek, Ujian Psikologi Kerjaya serta Ujian Kompetensi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Part isi kandungan ujian ni akan saya bincangkan kemudian.

5. Sekiranya anda melepasi tapisan ujian yang tadi, anda akan dipanggil untuk sesi temuduga pula. Sesi inilah yang paling mencabar dan memerlukan kekuatan diri. 

6. Jika berjaya dalam temuduga, sudah tentu akan dipanggil untuk melapor diri. 

Itulah yang boleh dinyatakan langkah- langkahnya menuju kerjaya di UTeM. Tapi ada sikit nak dihuraikan tentang sesi temuduga yang berlangsung. Calon luar yang hadir bagi sesi temuduga tersebut kira- kira 25 orang sahaja dan ada beberapa orang lagi merupakan calon dalaman iaitu staf yang sudah berkhidmat di UTeM dengan kelulusan SPM tapi kini telah mempunyai Diploma, ataupun staf yang berkhidmat secara kontrak yang mahu memohon untuk jawatan tetap.



Saya sampai di Bangunan Canselori UTeM kira- kira jam 0715 pagi. Masih tiada orang lagi. Sebaik jam 0730 pagi, aku diarahkan berkumpul di aras 1 untuk sesi lapor diri dan taklimat. Daripada 25 calon luar tersebut, hanya 4 orang termasuk aku adalah lelaki, selebihnya perempuan. Selepas melapor diri, semua dokumen kami disemak dengan teliti bagi memastikan maklumat yang diisi semasa permohonan adalah benar.

Selepas semakan berakhir kira- kira jam 1000 pagi, 5 orang calon pertama dipanggil memasuki bilik temuduga. Temuduga kali ini adalah secara berkumpulan, temuduga berkumpulan kali kedua buat aku selepas temuduga sebagai Telemarketing setahun dulu. Sekumpulan demi sekumpulan bersilih ganti. Kini giliran aku dan 3 orang calon lain, yang juga merupakan kumpulan calon luar terakhir dipanggil temuduga kira- kira jam 0300 petang. Sebaik masuk, kami diberi taklimat sedikit taklimat dan amanat sebelum sesi temuduga kami dimulakan.

Seiring sekumpulan dengan aku ialah seorang Pembantu Penyelidik Sambilan (gred 17), bekas Pembantu Akauntan (di KPWKM) dan seorang lagi Pegawai Khidmat Sumber Manusia dan apa ntah di sebuah syarikat. Tapi yang penting, semuanya telah terlalu biasa dengan "dunia" kerja kerajaan dan dalam bidang pentadbiran. Sedangkan aku, baru setahun jagung dalam dunia pekerjaan. Panel kami terdiri daripada seorang Pendaftar dan seorang Bendahari UTeM. Kecut perut jugak rasanya. Namun kutabahkan jua. Panel tersebut menyejukkan api lahar ketakutan dalam diriku dengan menyatakan soalan berkaitan deskripsi tugas dan berkaitan dengan jawatan tidak akan ditanyakan bagi berlaku adil dengan aku yang tiada berpengalaman. Alhamdulillah.



Namun, corak soalan yang diajukan lebih untuk berfikir secara kritis dan kreatif serta lebih profesional. Antara soalan yang diajukan adalah:

  • Sebagai seorang PPT, sanggupkah anda bekerja melebihi jangkamasa 8 jam termasuk pada hari cuti dan hujung minggu?
  • Apakah attitude yang patut ada sebagai seorang PPT, terhadap diri sendiri dan orang lain?
  • Anda telah mempunyai pengalaman kerja berpuluh- puluh tahun. Bagaimanakah caranya untuk anda menegur pegawai atasan yang baru setahun jagung di alam pekerjaan?
  • Anda merupakan seorang pegawai yang muda di dalam sesuatu organisasi, bagaimanakah anda untuk berhadapan dengan mereka yang lebih senior dan lebih berusia daripada anda?
  • Anda hanya seorang PPT (seperti kita tahu hanya mempunyai Diploma), bagaimanakah anda untuk berurusan dengan ahli akademik seperti Professor, Doktor dan mereka yang mempunyai kelulusan yang tinggi dan juga ego serta sifat "selalu betul" yang tinggi?
  • Bagaimanakah anda menguruskan masa seharian anda? Berikan sistem pengurusan waktu yang digunakan seharian dan dalam melaksanakan tugas- tugas harian? (sedikit contoh jawatan: buat to-do list, sediakan jadual kerja, gunakan sistem prioritize serta gunakan teknik kuota)

Itulah antara soalan- soalan mencabar yang ditanyakan oleh ahli panel. Bayangkan ada 4 mulut yang berebut untuk menjawab. Masing- masing ingin menonjolkan diri sendiri. Tapi kalau boleh, berpada- padalah. Ni ada sikit tips untuk sesi temuduga secara berkumpulan.

  • Minta izin untuk menjadi speaker pertama di dalam sesi. Tapi biasanya dimulakan dari kanan.
  • Jangan memberikan jawapan terlalu panjang dan berjela- jela. Anda akan membuatkan panel berasa bosan.
  • Cukup sekadar memberikan satu dua poin dan diikuti dengan contoh. Tak perlu tamak. Kerana akibatnya nanti, calon lain akan kehabisan idea kerana di kebas oleh anda.
  • Jangan sesekali menuding jari kepada calon lain untuk bercakap. Biarkan mereka bercakap sendiri apabila sudah sedia.
  • Jangan sesekali menyampuk hujah atau jawapan yang diberikan calon lain, kerana anda akan membuat dia hilang fokus dan mungkin akan kelu lidah mati kata- kata.
  • Tunjukkan ekspresi menyokong kepada kata- kata calon lain walaupun anda sedikit tidak bersetuju. Ini bagi mewujudkan suasana harmoni sesama calon.
  • Akhir sekali, jangan jadi seperti murai dicabut ekor, jangan jadi tin kosong, jangan jadi pengacau dan be yourself.

Itulah sedikit pengalaman aku ketika menghadiri temuduga Penolong Pegawai Tadbir (PPT) N27 di UTeM. Semoga temuduga tersebut berjaya. Untuk entri akan datang, aku akan ceritta sikit mengenai ujian- ujian yang aku lalui sebelum melepasi ke fasa temuduga. Sekian untuk hari ni, assalamualaikum wbth.

:: JOM KONGSI ::

Kenangan Bersama AMAR

Kenangan Bersama AMAR